Home / Program / Kesihatan Awam / Pemakanan


 
Matlamat Program Pemakanan adalah untuk memastikan kesejahteraan penduduk dicapai dan dikekalkan melalui pemakanan serta menggalakkan dan menyokong strategi bagi amalan pemakanan yang sihat.
 
Dasar Pemakanan Malaysia(Kementerian Kesihatan Malaysia, 2005) dan Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan (NPANM II) (Kementerian Kesihatan Malaysia, 2006-2015) merupakan dokumen dasar dan rangka kerja bagi program.
 
Objektif khusus program pemakanan adalah seperti berikut:
 
1. Memantau dan menilai status pemakanan penduduk di negeri Sarawak dan membantu dalam pengawasan pemakanan.
   
2. Merancang, melaksana  dan menilai
 
  • program dan aktiviti pemulihan pemakanan
 
  • program dan aktiviti promosi pemakanan
   
3. Memberikan nasihat teknikal dan khidmat rundingcara pemakanan
   
4. Mengenalpasti keperluan dan melaksanakan kajian pemakanan
   
Perkhidmatan pemakanan disampaikan melalui semua klinik kesihatan. Aktiviti pemakanan boleh dibahagikan secara umumnya kepada pengawasan pemakanan, pemulihan pemakanan dan promosi pemakanan.
 
Pengawasan Pemakanan
 
Pemantauan status pemakanan kanak-kanak berumur di bawah lima tahun merupakan salah satu aktiviti di bawah pengawasan pemakanan. Pemantauan tumbesaran kanak-kanak di bawah lima tahun dilaksanakan di semua klinik kesihatan melalui sistem pengurusan maklumat kesihatan  (HMIS). Sistem tersebut menggunakan berat-untuk-umur sebagai indikator bagi status pemakanan kanak-kanak. Berdasarkan penilaian status pemakanan, masalah pemakanan kanak-kanak di bawah lima tahun dapat dikenalpasti dan kanak-kanak yang kekurangan zat makanan dikendalikan menggunakan garis panduan yang ditetapkan
 
Bagi tahun 2011, sejumlah 31,852 kanak-kanak di bawah lima tahun telah dipantau di bawah sistem pengawasan pemakanan. Daripada jumlah tersebut, 28,343 (89.0%) mempunyai berat badan normal, 3,053 (9.6%) didapati kurang berat badan manakala 456 (1.4%) didapati berlebihan berat badan.
 
Pemulihan Pemakanan
 
Pemulihan pemakanan meliputi perancangan, penyelarasan dan penilaian intervensi pemakanan bagi mencegah dan mengawal masalah pemakanan. Masalah pemakanan meliputi kekurangan zat makanan kanak-kanak, anemia di kalangan ibu hamil, gangguan akibat kekurangan iodine (IDD) dan obesiti.
 
Kumpulan sasaran utama bagi aktiviti intervensi pemakanan adalah ibu hamil dan kanak-kanak. Aktiviti pemulihan pemakanan meliputi pemberian bakul makanan kepada kanak-kanak kekurangan zat makanan (KZM) daripada keluarga miskin tegar. Pemantauan tumbesaran dan pendidikan pemakanan juga diberikan di klinik-klinik kesihatan serta rujukan kepada agensi berkaitan untuk membantu dari segi faktor sosio-ekonomi yang juga mempengaruhi kesihatan dan pemakanan. Selain daripada itu, pemulihan pemakanan untuk ibu mengandung dengan anaemia meliputi pendidikan kesihatan, pemberian ‘haematinik’ dan rujukan kepada Pegawai Pemakanan untuk rundingcara pemakanan.
 
Bagi mencegah dan mengawal penyakit kronik berkaitan pemakanan, rundingcara pemakanan diberikan oleh Pegawai Pemakanan di klinik kesihatan. Khidmat rundingcara pemakanan diberikan kepada individu dengan penyakit kronik seperti diabetes, berlebihan berat badan dan obesiti
 
Pencegahan dan kawalan gangguan akibat kekurangan iodin meliputi aktiviti agihan garam beriodin, pewartaan penjualan garam beriodindan pendidikan pemakanan. Pewartaan penjualan garam beriodin di seluruh negeri telah dilaksanakan melalui Akta Makanan 1983 & Peraturan Makanan 1985; sub-Peraturan 285(3) berkuat kuasa 1 Julai 2009. Pemantauan kemasukan garam beriodin melalui pintu masuk utama juga dijalankan di Pelabuhan Kuching dan Pelabuhan Sibu. Selain daripada itu, pemantauan penjualan garam beriodin dijalankan di peringkat peruncit dan pasar raya secara berkala.
 
Projek pemakanan di peringkat komuniti dijalankan di daerah terpilih untuk meningkatkan status pemakanan dan kesihatan kanak-kanak. Fokus pelaksanaan meliputi pemantauan tumbesaran dan pendidikan pemakanan bagi kanak-kanak, khususnya amalan penyusuan susu ibu dan pemberian makanan pelengkap yang optima.
 

Rajah 1: Sessi pendidikan pemakanan untuk ibu-ibu di Rumah Saba, Sarikei

 
Promosi Pemakanan
 
Promosi amalan pemberian makanan bayi dan kanak-kanak kecil yang optima telah dilaksanakan di semua klinik kesihatan semenjak 1970an menggunakan pelbagai strategi untuk memastikan kesejahteraan pemakanan dan kesihatan. Promosi penyusuan susu ibu dan amalan pemberian makanan bayi dan kanak-kanak kecil juga merupakan sebahagian Global Strategy for Infant & Young Child Feeding (WHO, 2003). Usaha global untuk mempromosi, melindungi dan menyokong penyusuan susu ibu termasuklah sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia setiap tahun pada 1 hingga 7 hb Ogos.
 
Inisiatif Hospital Rakan Bayi telah dilaksanakan di semua hospital untuk menyokong ibu-ibu bagi mengamalkan penyusuan susu ibu. Sarawak mempunyai 19 hospital yang diberi pengiktirafan status Hospital Rakan Bayi oleh WHO & UNICEF. Selain daripada itu, projek Klinik Rakan Bayi juga dilaksanakan mulai tahun 2006 untuk meningkatkan lagi promosi penyusuan susu ibu di klinik kesihatan terpilih.
 
Matlamat pelaksanaan Tata Etika Pemsaran Makanan Bayi dan Produk berkaitan adalah untuk mengekang usaha pemasaran makanan bayi yang tidak beretika. Aktiviti di bawah Tata Etika meliputi pengawasan pelanggaran terhadap Tata Etika oleh pengilang dan pengedar produk tersenarai (susu rumusan bayi, rumusan susulan, rumusan khas, botol, puting dan putting tiruan) dan makanan pelengkap bayi. Tata Etika tersebut juga mengawas amalan oleh professional kesihatan dalam sistem kesihatan untuk mencegah amalan pemasaran produk tersenarai dan makanan pelengkap bayi yang tidak beretika oleh syarikat pengeluar.
 
Bulan Pemakanan Malaysia disambut setiap April untuk mempromosi amalan pemakanan sihat dan perubahan tingkah laku di kalangan kumpulan sasar yang ditetapkan. Tema pada tahun 2012 adalah “Jom Bina Keluarga Lebih Sihat” dan kumpulan sasar diketengahkan ialah keluarga yang terdiri daripada ibu bapa dan kanak-kanak berumur 4 hingga 12 tahun.
 
Promosi pemakanan sihat di sekolah meliputi nasihat teknikal dalam pembentukan garis panduan dan menu di kantin sekolah serta pengurusan berat badan pelajar sekolah. Kanak-kanak dengan masalah pemakanan yang dikenalpasti juga dirujuk kepada Pegawai Pemakanan untuk pengurusan berat badan melalui pasukan kesihatan sekolah.
 
Aktiviti untuk promosi makan secara sihat dan aktiviti fizikal juga dilaksanakan melalui kerjasama dengan agensi kerajaan yang lain, NGO dan persatuan untuk meningkatkan lagi status pemakanan dan mencegah penyakit kronik berkaitan pemakanan.

Portal Rasmi : Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak

http://jknsarawak.moh.gov.my/bm/modules/mastop_publish/?tac=84