PENGENALAN
Unit Rekod Perubatan adalah salah satu perkhidmatan sokongan klinikal yang dipertanggungjawabkan dalam Pengurusan Rekod Perubatan Pesakit secara manual dan elektronik (HIS). Berkerjasama dengan Unit Teknologi Maklumat bagi memastikan fungsi dan ciri-ciri keselamatan rekod perubatan pesakit beroperasi selaras dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Unit Rekod Perubatan Hospital Bintulu terletak di Lobi Utama, Tingkat 1 bersebelahan dengan Unit Hasil. Ia diketuai oleh Pegawai Tadbir (Rekod Perubatan) Gred N41 serta 5 orang anggota yang lain untuk membantu dalam memberi perkhidmatan.
VISI
Menjadi sebuah unit yang berpengetahuan luas, cekap dan berkesan dalam memberi perkhidmatan yang cemerlang dalam era perkhidmatan sistem HIS (Hospital Information System) dan pemangkin untuk mencapai objektif Hospital Bintulu dan Jabatan Kesihatan negeri secara menyeluruh.
MISI
- Membangun dan menambahbaik sistem dan proses selaras dengan teknologi baru.
- Untuk mengekalkan budaya pembelajaran dan keinginan untuk peningkatan diri.
- Untuk merangka dan membangunkan kaedah berkesan yang lebih cekap dan kos pengurusan data bagi membolehkan penggubalan rancangan yang akan memberi manfaat kepada jabatan, pelanggan dan perkhidmatan awam keseluruhannya.
SASARAN
Mewujudkan Perkhidmatan Rekod Perubatan yang Efisien
OBJEKTIF
- Mewujudkan satu sistem penyimpanan rekod perubatan, laporan perubatan dan arkib data yang selamat dan sesuai dalam meningkatkan taraf pengawalan dan kerahsiaan maklumat kesihatan yang terjamin.
- Menyelaras dan menyediakan maklumat statistik yang di perlukan oleh pihak Hospital dan Kementerian.
- Menyediakan dan memberikan perkhidmatan rekod perubatan yang berkesan, terkini serta penuh tanggungjawab kepada semua lapisan masyarakat sesuai dengan kehendak pelanggan dan etika perkhidmatan yang bercirikan kecekapan, kualiti, inovasi dan berteraskan budaya penyayang, kerja berpasukan dan profesionalisma agar dapat mencapai wawasan negara untuk mewujudkan sebuah negara yang mempunyai individu, keluarga dan masyarakat yang sihat.
FUNGSI UTAMA UNIT REKOD PERUBATAN HOSPITAL BINTULU
- Mengendalikan pengurusan Rekod Perubatan Pesakit
- Pengurusan Permohonan Laporan Perubatan (Biasa/Medico – legal)
- Perangkaan (Pengurusan Statistik data Hospital)
- Klasifikasi klinikal Penyakit berpandukan Kod Klasifikasi penyakit antarabangsa (ICD 10)
- Pengurusan Am
- Penasihat kepada unit-unit lain berkenaan penyimpanan/pelupusan rekod perubatan pesakit.
- Menyediakan data dan rekod perubatan pesakit untuk penyelidikan.
Waktu Operasi
Kaunter Unit Rekod Perubatan dibuka seperti berikut:
Hari | Pagi | Rehat | Petang |
Isnin - Khamis | 8.00 - 12.30 | 12.30 - 14.00 | 14.00 - 17.00 |
Jumaat | 8.00 - 11.30 | 11.30 - 14.15 | 14.15 - 17.00 |
Kaunter ditutup pada hari Sabtu, Ahad dan Cuti Umum melainkan bagi kes kecemasan yang memerlukan rekod perubatan dengan segera. |
PENGURUSAN REKOD PERUBATAN PESAKIT
Unit Rekod Perubatan turut bertanggungjawab keatas penyimpanan rekod perubatan pesakit fizikal. Rekod perubatan pesakit fizikal adalah sebahagian daripada rekod perubatan pesakit di dalam HIS yang perlu disimpan untuk rujukan oleh pegawai perubatan bagi tujuan rawatan lanjutan, laporan perubatan,penyelidikan dan kes mahkamah. Tempoh simpanan rekod perubatan pesakit adalah mengikut jadual pelupusan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
JENIS LAPORAN PERUBATAN
- Laporan Perubatan Biasa
- Laporan Perubatan Ringkas Pakar
- Laporan Perubatan Terperinci Pakar
- Laporan Bedah Siasat (Post Mortem)
- Borang Insurans/PERKESO/KWSP
- Borang Buruh 90 (Perakuan Ordinan Pampasan Pekerja, 1952)
- Permohonan Laporan dari Majikan/Polis
Maklumat lanjut berkenaan prosedur permohonan, sila rujuk disini.
Borang Permohonan Laporan Perubatan/ Laporan Bedah Siasat, sila rujuk disini.
BAYARAN
Bayaran Laporan Perubatan (tertakluk bawah Akta Fi Perintah Fi ( Perubatan) Kos Perkhidmatan) 2014 dan pindaan perintah Fi (Perubatan) 2003 P.U (A) 359
Jenis Laporan | Warganegara | Bukan Warganegara |
RM | RM | |
Laporan Perubatan Biasa | 40.00 | 120.00 |
Laporan Perubatan Ringkas Pakar | 80.00 | 240.00 |
Laporan Perubatan Terperinci Pakar* | 200.00 - 1,000.00 | 400.00- 2,000.00 |
*Bergantung kepada kerumitan menyediakan Laporan Perubatan Pakar Terperinci tersebut.
Permohonan lanjutan/tambahan bagi Laporan Perubatan yang telah disediakan oleh Pegawai Perubatan/Pakar, bayarannya adalah mengikut jumlah permohonan yang dipohon atau berdasarkan kerumitan /kepakaran menyediakan laporan tersebut.
SALINAN LAPORAN PERUBATAN
Permohonan salinan Laporan Perubatan bagi tujuan yang sama dikenakan bayaran 50% dari caj bayaran asal.
SOALAN LAZIM (FAQ)
1) Berapakah bayaran untuk permohonan Insurans/PERKESO/KWSP?
Bayarannya ialah sebanyak RM40(Warganegara) untuk Permohonan Laporan Perubatan Biasa dan sila rujuk pada jadual bayaran.
2) Saya ingin membuat tuntutan Insurans/PERKESO/KWSP?
Sediakan Borang Insurans/PERKESO/KWSP anda. Pihak kami tidak menyediakan sebarang borang tuntutan.
3) Bolehkah saya mendapatkan salinan untuk Rekod Perubatan?
Tidak boleh. Rekod Perubatan adalah SULIT. Anda hanya dibenarkan memohon Laporan Perubatan sebagai ringkasan dari Rekod Perubatan anda.
4) Saya telah menerima rawatan di 3 Jabatan Klinikal yang berbeza. Kenapa hanya 1 jabatan sahaja yang menyediakan laporan Perubatan?
Anda perlu membuat 3 permohonan untuk mendapatkan Laporan Perubatan dari 3 Jabatan Klinkal tersebut. Satu permohonan hanya untuk satu Jabatan dan setiap permohonan dikenakan bayaran.
5) Bolehkah saya memohon/mengambil Laporan Perubatan bagi pihak kawan saya?
Boleh dengan syarat ada Surat Keizinan dari kawan anda yang jelas menyatakan nama anda sebagai wakil bagi pihak beliau.