Salam sejahtera dan selamat datang ke Laman Web Hospital Limbang!
Laman Web Hospital Limbang ini dibangunkan sebagai salah satu inisiatif untuk menyampaikan maklumat berkaitan perkhidmatan kesihatan dan perubatan yang disediakan oleh Hospital Limbang kepada komuniti khasnya di Bahagian Limbang. Hospital Limbang yang berusia lebih dari 40 tahun ini menjadi tonggak utama dalam memberikan perkhidmatan perubatan kepada masyarakat di Bahagian Limbang. Hospital Limbang kini telah pun beralih peranan dari sebuah Hospital Tanpa Pakar kepada Hospital Pakar Minor yang menawarkan perkhidmatan kepakaran utama. Hal ini sejajar dengan hasrat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui misinya yang ingin mencapai sepenuhnya potensi masyarakat dalam kesihatan serta mengambil tanggungjawab dan tindakan positif demi kesihatan yang optimum.
Kedudukan geografi yang unik antara negara jiran dan keperluan merentas sempadan negara jiran dalam proses rujukan pesakit ke hospital lain sentiasa diberi perhatian oleh pihak hospital, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat. Justeru itu, perkhidmatan kepakaran sedang diperkembangkan di hospital ini; contohnya Jabatan Radiologi Hospital Limbang mempunyai Computed Tomography (CT ) scan dengan menempatkan dua orang Pakar Radiologi sepenuh masa. Makmal Molekular juga turut beroperasi dan memainkan peranan penting dalam saringan COVID-19. Malahan Wad Penjagaan Rapi (ICU) juga telah mula beroperasi. Perkhidmatan Kepakaran Sakit Puan (Obstetrik & Gynaecology), Kepakaran Kanak-kanak (Pediatric), Kepakaran Perubatan Klinikal (Physician), Kepakaran Psikiatri, Kepakaran Radiologi, Kepakaran Pembedahan, Kepakaran Anestesiologi, Kepakaran Ortopedik dan Kepakaran Kecemasan turut ditempatkan sepenuh masa di Hospital Limbang.
Pakar-pakar Hospital Miri dari pelbagai bidang turut menjalankan lawatan dan mempunyai jadual lawatan berkala dalam mengendalikan Klinik Pakar di Hospital Limbang. Hospital Limbang juga turut memainkan peranan sebagai pusat rujukan kepada Hospital Lawas. Sekiranya terdapat keperluan mendesak, perkhidmatan helikopter (Medevac) turut digunakan sebagai alternatif untuk mengambil pesakit di kawasan pedalaman untuk dirujuk ke Hospital Limbang dan turut digunakan dalam menghantar pesakit-pesakit tertentu ke Hospital Miri.
Saya sebagai Pengarah Hospital Limbang berharap agar dapat membantu dalam penjagaan kesihatan sejagat. Kami pihak pengurusan di Hospital Limbang sentiasa peka dengan keperluan masyarakat setempat dan berazam untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan di Hospital Limbang. Hospital Limbang Hospital Berwawasan.
Sekian.
“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”
Saya yang menjalankan amanah,
Pengarah Hospital Limbang


