POLISI LAWATAN DARI AGENSI LUAR KE HOSPITAL UMUM SARAWAK

1. Setiap lawatan luar sama ada dari badan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGOs), Persatuan Kebajikan Sosial, Persatuan / Badan Keagamaan atau orang perseorangan (khas) hendaklah terlebih dahulu dikemukakan kepada Pengarah Hospital menerusi surat rasmi.

2. Lawatan yang telah diluluskan akan dikendalikan oleh Unit Perhubungan Awam untuk tindakan lanjut. Bagi lawatan sambil belajar melebihi satu hari harus dikendalikan oleh Unit Latihan.

3. Masa lawatan yang dibenarkan adalah mengikut justifikasi Pengarah HUS. Lawatan tidak boleh dilakukan dalam jangka masa yang lama dan terlalu awal untuk setiap sesi kerana ia akan menganggu pegawai perubatan mengadakan pemeriksaan harian kepada pesakit.

4. Lawatan tidak terhad pada cuti umum dan hujung minggu.

5. Bilangan pelawat tidak boleh melebihi 15 orang bagi wad-wad biasa dan tidak melebihi 8 orang bagi lawatan Wad Pediatrik Onkologi. Pelawat adalah dilarang sama sekali memasuki Wad Pediatrik Pengasingan (Isolation Ward) dan Wad Penjagaan Rapi (ICU).

6. Lawatan sambil belajar dalam kumpulan yang besar akan dibahagikan kepada kumpulan kecil dan hanya akan dibenarkan melawat wad yang telah dikenalpasti sahaja pada satu-satu masa dengan tempoh lawatan satu hari sahaja.

7. Lawatan sempena Sambutan Hari Kebesaran mana-mana Pertubuhan Kerajaan atau bukan Kerajaan, haruslah dilaksanakan pada hari bekerja. Sekiranya aktiviti sambutan hari kebesaran melibatkan pesakit, hanya pesakit yang berkeupayaan dengan diiringi oleh kakitangan wad sahaja dibenarkan. Pesakit-pesakit yang tidak berkeupayaan boleh melibatkan diri hanya di dalam wad sahaja.

8. Sebarang pemberian hadiah kepada para pesakit hendaklah hadiah berbungkus (pack present) dan bukannya makan basah seperti KFC, burger dan lain-lain. Makanan yang dibenarkan adalah biskut berbungkus, minuman kotak atau botol, alatulis, tuala dan mana-mana yang dibenarkan oleh Pengarah Hospital. Semua hadiah mestilah disahkan halal.

9. Pengambilan foto para pesakit hendaklah mendapat kebenaran Pengarah terlebih dahulu dan keluarga pesakit sendiri. Pihak Pelawat yang membawa pihak wartawan dan ingin membuat kenyataan akhbar (press release) prlu mendapatkan kebenaran Pengarah Hospital.

10. Setiap lawatan Hospital harus diiringi oleh Ketua Jabatan berkenaan sama ada Pegawai Perubatan, Matron atau Wakil Jabatan mengikut arahan Pengarah Hospital. Pegawai Perhubungan Awam hanya akan hadir jika perlu sahaja (bagi lawatan yang tidak melibatkan protokol).