Hospital Kapit dikategorikan sebagai Hospital Berpakar Minor yang merupakan satu-satunya hospital kerajaan yang terletak di dalam Bahagian Kapit. Hospital Kapit dibina pada pada tahun 1950an oleh Methodist Missionary dengan nama Christ Hospital pada permulaannya dan dinamakan semula sebagai Hospital Kapit selepas diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia pada 4 Julai 1974.
Hospital Kapit dilengkapi 134 katil dan mempunyai lapan perkhidmatan kepakaran iaitu Perubatan Am, Pembedahan Am, Pediatrik, Obstetrik & Ginekologi, Anestesiologi dan Rawatan Rapi, Ortopedik, Radiologi dan Psikiatri. Perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan selamat menjadi keutamaan Hospital Kapit dan kepakaran lain akan ditambah selaras dengan perkembangan Bahagian Kapit. Hospital Kapit juga merupakan salah sebuah Hospital Non-Lead di dalam Kluster Tengah Negeri Sarawak yang diketuai oleh Hospital Sibu sebagai Lead Hospital.
Selain itu, perkhidmatan-perkhidmatan lain yang turut disediakan ialah perkhidmatan hemodialisis (termasuk Unit Hemodialisis di Klinik Kesihatan Song), farmasi, fisioterapi, terapi cara kerja, sosial perubatan, rekod perubatan, transfusi darah dan makmal yang merangkumi semua aspek untuk Pesakit Dalam, Pesakit Luar dan Perawatan Pra-Hospital.






