UNIT TERAPI CARA KERJA

Pengenalan Unit

Perkhidmatan Terapi Cara Kerja merupakan satu bidang rawatan pemulihan dan penjagaan kesihatan yang memfokuskan kepada membantu individu, kumpulan atau populasi (penulisan seterusnya dinamakan sebagai klien) daripada segenap lapisan umur melibatkan diri dan melakukan aktiviti kehidupan harian, produktiviti dan masa lapang yang terganggu akibat masalah fizikal, psikologikal atau sosial.

Terapi cara kerja menggunakan pendekatan berpusatkan klien melalui aktiviti yang bertujuan dan bermakna, modifikasi peralatan dan persekitaran, adaptasi perlaksanaan pekerjaan, teknik terapeutik dan modaliti fizikal, pendidikan serta konsultasi bagi mengekalkan, meningkatkan dan/atau mewujudkan kemahiran dan keupayaan individu tersebut supaya mereka dapat melaksanakan peranan mereka secara optimum dan lebih bermakna dalam persekitaran budaya-sosial mereka. (WFOT, 2018)

Perkhidmatan Terapi Cara Kerja disediakan untuk habilitasi, rehabilitasi serta promosi kesihatan dan kesejahteraan klien. Perkhidmatan ini menekankan kepada konsep nilai cara kerja (occupation) dan konteks terhadap pelan perawatan berasaskan aktiviti kehidupan seharian (AOTA, 2020).

Ahli Terapi Cara Kerja melaksanakan perkhidmatan ini bukan sahaja di fasiliti kesihatan seperti di hospital atau klinik kesihatan malah turut membantu mereka yang berada di komuniti seperti di sekolah, pusat penjagaan kesihatan, organisasi setempat dan tempat kerja.

Bagi mencapai matlamat rawatan yang lebih berkesan dan efisien, Ahli Terapi Cara Kerja bekerjasama dengan pelbagai ahli kesihatan yang lain sebagai satu pasukan.

Perkhidmatan Terapi Cara Kerja telah bermula dari dekad 70-an di Hospital Lau King Howe. Pada tahun 1994, perkhidmatan ini berpindah ke Hospital Sibu. Kini unit beroperasi dengan seorang pegawai pemulihan perubatan cara kerja, 13 orang jurupulih perubatan cara kerja, seorang juruteknik perubatan dan seorang pembantu perawatan kesihatan.

Hospital Sibu ยท Unit Terapi Cara Kerja