Asap rokok tembakau mahupun aerosol daripada rokok elektronik dapat menjejaskan kesihatan saluran pernafasan dan sistem ketahanan tubuh manusia. Sistem ketahanan tubuh yang lemah dapat meningkatkan risiko terhadap jangkitan bakteria dan virus. Justeru, perokok lebih mudah dijangkiti pelbagai penyakit berjangkit lebih-lebih lagi ketika wabak COVID-19 yang kini sedang melanda seluruh dunia.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), pengguna tembakau sama ada rokok, shisha, cerut atau produk tembakau yang dipanaskan dikatakan lebih mudah dijangkiti virus COVID-19. Perkara ini disebabkan perbuatan merokok yang melibatkan sentuhan jari dengan bibir dan juga rokok yang mungkin tercemar, dipercayai meningkatkan risiko penularan virus dari tangan ke mulut, terutamanya jika jarang mencuci tangan.
Di samping itu, pengguna shisha yang sering berkongsi paip penyedut boleh menyebabkan virus merebak dengan mudah. Selain perkongsian paip, penggunaan shisha secara beramai-ramai ini juga meningkatkan risiko jangkitan akibat kurangnya penjarakan sosial ketika aktiviti ini dilakukan.
Mengapa COVID-19 Lebih Berbahaya Kepada Perokok?
Asap rokok menjejaskan saluran pernafasan serta mengganggu proses pertukaran gas oksigen dan karbon dioksida di dalam paru-paru. Rokok juga menyebabkan pelbagai penyakit pada organ paru-paru seperti seperti jangkitan kuman (pneumonia), bronkitis, emfisema, bahkan kanser paru-paru. COVID-19 menyerang organ pernafasan dan keadaan saluran pernafasan yang terjejas akibat rokok memudahkan virus ini menjangkitinya sekaligus menyebabkan jangkitan yang lebih serius. COVID-19 adalah sejenis penyakit berjangkit yang menyerang tubuh manusia, terutamanya organ paru-paru.
